Bermacam macam kerenah berlaku dikalangan orang politik melayu dewasa ini, yang sukar hendak saya fahami. Apakah yang menyebabkan mereka tergila gila untuk merebut kuasa, seperti yang berlaku di Perak tempuh hari. Dan bagi orang UNNO pula, lihatlah apa yang telah terjadi bagi mereka yang hendak merebut jawatan dalam parti. Sanggup bermain duit berjuta-juta. Dan bagi mereka yang kaya pula, sudah tentu dengan adanya jawatan, akan adalah sumber pendapatan mereka yang lebih lumayan; tidak kiralah samada sumber itu diperolehi secara halal atau haram.
Perkataan haram itu seolah olah tidak ada lagi dalam ‘vocabulary’ mereka. Yang penting nya duit; lagi banyak lagi bagus, dan tidak keterlauan bagi saya menyatakan disini bahawa sebahagian dari mereka ini sanggup sembah duit dari menyembah Allah SWT. Itulah buruknya perangai sesetengah orang politik melayu dewasa ini. Dimanalah hendak saya letakkan muka saya sebagai saorang melayu yang beragama Islam dihadapan kawan kawan saya yang berbangsa lain.
Tidak terlintas dipemikiran saya bahawa orang politik melayu sekarang sebegitu rakus, tamak dan gila kuasa. Di zaman silam, sesiapa saja yang hendak berkuasa mestilah gagah dan kuat; pandai bermain keris, bersilat dan tidak gentar menghadapi lawannya. Sekarang berlainan pula, ada duit ada kuasa, kalau tak pandai bermain keris pun tak mengapa. Duit adalah segala galanya. Lihatlah bagaimana pangkat dan kuasa telah mengakibatkan dua orang Adun melayu di Perak terjerumus dalam kemaksiatan dan rasuah. Inikah contoh yang terbaik yang dapat ditunjukkan oleh mereka kepada anak cucu kita? Dan saya percaya ramai lagi orang politik melayu yang masih belum sedar diri.
Negara kita akan ditimpa kecelakaan sekiranya orang politik melayu masih terus tergila gila merebut kuasa. Tidakkah mereka tahu bahawa menjadi seorang pemimpin melalui kuasa politik itu ada tanggungjawab tertentu kepada masyarakat. Kalau nak menjadi pemimpin untuk memberi ‘order’ sahaja bukanlah itu seorang pemimpin. Ambillah contoh pemimpin-pemimpin Islam yang tercatat pada kitab-kitab kita. Mereka diiktiraf sebagai pemimpin bukan kerana duit. Mereka menonjolkan sifat-sifat kepimpinan melalui contoh yang terbaik, mulia dan penuh dengan keinsafan diri, selain dari berani dan gagah dalam peperangan. Sanggupkah orang politik melayu kita sekarang sanggup berperang. Jawapannya sudah tentu tidak kerana mereka akan berkata itu bukan tugas kami. Itu tugas tentera.
Inilah perbezaannya pemimpin melayu yang diperolehi melalui kuasa politik sekarang dengan pemimpin Islam seperti yang tercatat dalam sejarah Islam lampau. Lantas, saya memohon orang politik melayu sedarlah diri dan bukalah hati untuk merapati silatulrahim dengan bangsa mu sendiri, walaupun terdapat perbezaan fahaman politik. Jangan lah anggap terlalu hina bangsa mu sendiri disebabkan perbezaan fahaman politik, kerana ini akan membawa kepada kehancuran bangasa dan negara mu sendiri.
CRUSADE AGAINST CORRUPTION
Posted at 13.20 pm on Feb 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment